Wednesday, June 22, 2011

Allah Ajarkan Siapa Aku?

Dengan namaMu Ya Allah, Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang ... Dengan NamaMu ini kami menjalankan amanah yang Kau telah tetapkan untuk kami, ada di kalangan kami yang mengajar anak-anak sekolah Atas NamaMu, ada di kalangan kami yang sedang menjual ayam di pasar Atas NamaMu, ada di kalangan kami yang sedang membawa pesawat kapal terbang Atas NamaMu ... kerana kami semua wakilMu ya Allah ... redhailah kami dan pandangilah kami dengan pandangan rahmatMu ... keranaMu kami hidup dan dengan NamaMu kami ingin mati ... Lailahaillallah ... perkenankan Ya Allah ...

kita bukanlah jasad ini, kita bukanlah tangan ini, bukan mata ini ... fizikal kita hanyalah alat yang diberikan Allah untuk kita melakukan aktiviti memenuhi tugas dan amanah kita di muka bumi ini. Bayangkan seorang Eksekutif yang baru memulakan tugas, apakah antara fasiliti yang mula-mula diberikan kepadanya? Sebuah komputer bukan? Dengan komputer itu si Eksekutif tadi akan mudah melakukan tugasannya ...

Allah juga memberikan komputer ini kepada wakilNya untuk menjalankan tugasan yang diamanahkan. Itulah fizikal kita yang lengkap dengan sistem otaknya yang begitu hebat, sistem perjalanan darah, sistem penghadaman dan berbagai sistem yang ada di dalam diri kita ... Mana hebat komputer Allah ini berbanding PC kita di pejabat? Tak terbandingnya bukan ...

Bukan sahaja Allah bekalkan kita dengan sebuah "komputer" yang begitu hebat sistemnya tapi Allah bekalkan juga kita akal fikiran, nafsu dan Ruh yang masing-masingnya punya potensi yang amat luar biasa sekali. Segala yang diberikan Allah ini menjadikan kita makhluk Allah yang paling sempurna dan dengan kesempurnaan itu dibandingkan dengan makhlukNya yang lain maka kita dilantik menjadi WakilNya di muka bumi ini.

Malangnya selama ini kesedaran ini tidak ada. Kita merasakan diri kita ini adalah fizikal beserta nafsu, akal ... maka bila kita pandai membuat sesuatu, kita dengan cepatnya merasakan kitalah yang pandai itu ... betulkan?

Alhamdulillah, semalam saya diberi peluang diajar Allah untuk 'Merasakan' diri saya yang sebenarnya. Ketika kita tidur, diri kita yang sebenarnya tidak ada di dalam jasad kita. Badan dan fizikal kita semuanya lemah dan ibarat sebuah komputer yang di "matikan" switch ke sumber elektrik maka komputer itu tidak mampu menjalankan apa juga aktiviti yang biasanya boleh dijalankan sebelumnya. Sama dengan fizikal kita, apabila kita tidur, ia hanya sebuah fizikal kosong, tidak mampu melihat, tidak mampu berfikir, tidak mampu berjalan ... benarkan?

Diri kita yang sebenarnya tidak ada di dalam jasad itu .... Allah ada menerangkan hal ini di dalam Al-Qur'an bahawa Allah mengenggam jiwa kita saat kita tidur dan sekiranya kita diberi umur lagi maka Allah akan mengembalikan jiwa kita dan kita hidup sehari lagi dan begitu lah yang berlakunya setiap hari ...

Petang semalam saya dan suami tertidur di dalam kereta sementara menantikan appointment kami dengan seorang sahabat. Kami tertidur kerana terlalu amat keletihan. Badan saya amat lemah dan terus saya tertidur. Lebih kurang dua jam selepas itu, saya tersedar tetapi saya tidak dapat bergerak, saya tidak dapat menggerakkan tubuh saya ... Saya sangat sedar ketika itu .... ingin saja saya panggil suami saya di sebelah agar dapat menggerakkan tubuh saya yang kaku ... tapi tidak berdaya.

Saya sempat berkata di dalam hati saya, adakah tiba masanya saya pulang pada Allah ... Saya cuba lagi menggerakkan tubuh saya, tidak mampu ... Saya katakan pada diri saya ketika itu, siapkan saja untuk mengadap Allah ... saya hampir tidak mahu mencuba lagi dan ingin saja terus menyerahkan diri kepada Allah ... kemudian timbul satu kekuatan untuk terus berusaha kerana di hati masih ingin terus hidup ... maka saya kuatkan sepenuh tenaga untuk menggerakkan tubuh saya dan tiba-tiba saya terjaga ....

Sebenarnya saya pernah mengalami keadaan seperti ini. Saya rasa sahabat semua pernah mengalaminya bukan? Kita tersedar dari tidur tapi badan tidak dapat digerakkan ... Macam-macam penjelasan kita pernah dengar, ada yang kata kena himpit dengan hantu, ada yang kata badan letih sangat ... Semalam saya mendapat satu paradigma yang baru ...

Saya terus menyedari bahawa 'Itulah Aku Yang Sebenarnya' ... aku yang pada hakikatnya terpisah dari jasad ini, aku yang sebenarnya bukan jasad ini ... Alhamdulillah, sudah berapa lama perkara ini terjadi tetapi kita tidak menyedari bahawa Allah memberikan kita pengalaman 'Merasakan' diri kita yang sebenarnya ... Terima kasih Allah.

Hanya Allah Yang Maha Mengetahui

- Artikel iluvislam.com

Tarbiyyah Satu Proses Pengalaman

Seringkali, kesibukan dijadikan alasan untuk tidak memenuhi tanggungjawab di dalam perjuangan.

Sepatutnya disedari, kesibukan bukanlah satu masalah dalam memenuhi tanggungjawab perjuangan.

Ini kerana, kedua-duanya adalah proses pengalaman yang sentiasa mematangkan diri.

Bagaimana menghadapinya, yakni antara kesibukan tanggungjawab sedia ada dan tanggungjawab perjuangan?

Bagaimana mengendalikan diri kita dalam mendepani cabaran kesuntukan masa ini?

Ada orang yang sentiasa menggunakan kesibukan sebagai alasan.

Alasan tidak dapat datang majlis-majlis pengajian. Tidak dapat datang usrah. Tidak dapat datang mesyuarat dan macam-macam lagi pengajian.

Ada juga kerana kesibukan dijadikan alasan tidak dapat beramal. Solat tidak berjemaah, tinggal zikir ma'thurat, tidak ada masa untuk al-Quran juga tidak dapat bangun malam bertahajjud.

Tambahan pula ada juga yang membuat alasan kerana tanggungjawab perjuangan, terabai langsung amal-amal fardi.

Inilah alasan-alasan yang datang daripada nafsu dan kerendahan himmah seorang yang mengaku pejuang..!

Justeru, tarbiyyah bukan semata-mata fikrah. Tarbiyyah bukan semata-mata kekuatan hujjah.

Tarbiyyah bukan semata-mata ilmiyyah. Namun, ianya adalah proses perubahan melalui pengalaman beramal dengan ilmu, berpegang dengan fikrah juga pengalaman mengendalikan diri dalam berhadapan dengan arus kehidupan yang penuh dengan kesibukan dan tanggungjawab perjuangan.

Tarbiyyah adalah satu proses merasai pengalaman. Bagaimana rasanya berpegang teguh dengan Islam sebagai cara hidup. Bagaimana rasanya beramal dan merasai lazat beramal. Bagaimana rasanya bila berjuang dan merasai pahit getir perjuangan. Bagaimana rasanya bersusah payah dalam perjuangan dan bersabar dalam bersusah payah.

Oleh itu, jika pernah rasa senang maka kena rasa juga susah. Jika pernah rasa menang maka kena rasa juga kalah. Jika pernah rasa kuat maka kena rasa juga lemah. Semua itu memberi pengalaman merasai sunnah dan realiti perjuangan. Barulah seorang pejuang itu menjadi matang dalam tarbiyyahnya.

Firman Allah Azza wa Jalla yang bermaksud :

Apakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga sedangkan belum lagi datang kepadamu apa yang telah mengenai orang-orang yang terdahulu dari kamu; mereka dirasakan dengan kesakitan dan kepapaan dan digoncangkan (pegangan) mereka sehingga berkata oleh Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya, 'Bilakah lagi datang pertolongan Allah' Ingatlah sesungguhnya pertolongan Allah itu hampir". (Surah al-Baqarah:214)

Oleh itu, ya abnai, kukuhkanlah amalanmu, terjunlah ke medan perjuangan, tinggalkanlah alam mimpi fikrah dan idealismamu.

Nescaya antum bakal menjadi pejuang aqidah dan fikrah yang sebenar.

Menjadi pencinta mati syahid demi syurga Allah yang tinggi.

Mulianya wanita

Allah swt tidak menjadikan nabi di kalangan wanita. Tetapi Allah swt memuliakan wanita di dalam Al-Quran dengan menamakan surah -An nisa'-.

Manusia yang pertama beriman kepada Allah swt selepas Rasulullah saw ialah wanita -Khadijah r.anha-.

Manusia pertama yang syahid kerana agama Allah juga adalah wanita - Sumayyah r.anha -.

Dan Allah juga mengangkat perbuatan Siti Hajar r.anha yang juga seorang wanita yang berlari-lari antara Safa dan Marwah di dalam rukun haji, iaitu saie.



Wanita adalah yang paling mudah memasuki syurga tetapi wanita jugalah yang paling ramai menjadi penghuni neraka. Sabda Nabi yang mafhumnya; "Wanita yang solat 5 waktu, berpuasa di bulan Ramadhan dan mentaati suaminya, maka masuklah dia ke syurga melalui mana-mana pintu yang disukainya".

Masya Allah, senang bunyinya. Tapi hakikatnya tidaklah semudah itu. Jika kita lihat bagaimana pengorbanan Siti Khadijah r.anha, tentunya kita takkan dapat tiru apa yang beliau telah lakukan. Sebelum memeluk Islam dan menjadi isteri Rasulullah saw, beliau ialah seorang hartawan, peniaga yang mashyur dan terkenal. Tetapi sebaik sahaja beliau beriman kepada Allah, seluruh hartanya diinfaqkan(dibelanjakan) ke jalan Allah swt. Sehinggakan di akhir hayatnya, ketika di pangkuan Rasulullah saw, katanya "Ya Rasulullah, jika tulang belulangku ini dapat dijadikan jambatan untuk keluar ke jalan Allah, maka ambillah. Aku redha ya Rasulullah".

Begitu juga kisah Sumayyah r.anha yang semua ahli keluarganya habis di bunuh oleh pembesar kafir Quraisy. Iman di dadanya sedikitpun tidak goyah hatta nyawanya menjadi korban kerana dia yakin, syurga Allah telah menantinya.

Kesabaran dan ketaatan Siti Hajar r.anha kepada suaminya dan iman yang kental terhadap Tuhannya, membuatkan beliau tidak sedikit pun gentar ditinggalkan di tengah-tengah padang pasir yang panas, yang tiada asbab untuk hidup bersama bayinya Nabi Ismail a.s yang masih merah. Tetapi Allah Maha Besar, setiap hamba yang taat kepadaNya akan dibalas dengan kebaikan. Dari hentakan kaki nabi Ismail a.s, maka terpancutlah air zam-zam yang Allah janji tidak akan kering sehingga hari Kiamat.

Allahu Akbar!. Betapa besarnya pengorbanan para sahabiah r.anha ketika itu. Sanggup kehilangan harta, suami, anak-anak demi agama Allah swt. Kerana mereka yakin dengan janji Allah swt, Allah telah beli diri, harta dan masa orang mukmin dengan syurga Allah swt. Apa lagi yang kita harapkan jika Allah swt sendiri dah tawarkan syurgaNya untuk kita? But for sure, ada harga yang perlu dibayar untuk mendapatkan ganjaran itu. Dan dunia ini adalah tempat untuk kita membuktikannya. Sabda Rasulullah saw yang mafhumnya, "Dunia itu adalah penjara bagi orang mukmin dan syurga bagi orang kafir".

- Artilkel iluvislam.com